PR semakin kuat pandangan Mahathir tiada asas

sinarharian
4 November 2012
SHAH ALAM - Pakatan Rakyat (PR) menyangkal dakwaan  bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kerjasama perikatan berusia empat tahun itu hanya bersifat sementara.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution berkata, PR tetap bersama mentadbir kerajaan sekiranya menang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Menurutnya, PR akan bersama dengan mengamalkan konsep yang telah dipersetujui parti walaupun mempunyai ideologi yang berbeza.

Tambahnya, "kejayaan PR bersama mentadbir empat negeri yang diperintah membuktikan kita sentiasa bersama dan akan kekal begitu."

"Kenyataan Dr Mahathir adalah untuk menakutkan rakyat, tapi rakyat sudah tidak kisah dan mereka yakin kerajaan alternatif mampu memberi perubahan.

"Kita hendak katakan kenyataan beliau sama sekali meleset, kita semakin kuat dan bersatu," katanya kepada Sinar Harian Online hari ini.

Kelmarin, Dr Mahathir menyifatkan kerjasama PR bersifat sementara dan sekadar mahu memenangi pilihan raya umum.

Tidak seperti Barisan Nasional (BN) yang mempunyai kerjasama rapat selama 55 tahun dan persefahaman, beliau berkata, dalam pakatan pembangkang itu sendiri sebenarnya tiada persetujuan dan tiada perancangan masa depan.

“Kita harus ingat pakatan bukan gabungan. Pakatan adalah perjanjian secara tidak bertulis yang mahu bekerjasama melawan BN, itu sahaja,” katanya.

Mengulas lanjut, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, jelas PR mempunyai kerjasama dan kebersamaan antara parti dan tidak akan berpecah jika menang pilihan raya pada kali ini.

Dalam pada itu, Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, PR akan tetap kekal bersama sampai bila-bila selagi berpegang kepada konsep yang diamalkan PR.

Beliau juga berkata, rakyat tidak lagi mengambil kisah dengan kenyataan yang berunsur ugutan dan cubaan menakutkan, tetapi mereka sepakat untuk membuat perubahan bersama kerajaan alternatif PR.

"Kata-kata Mahathir sekarang sukar dipegang dan sering berubah, tak apalah kita tak mahu layan dengan kenyataan beliau yang mahu takutkan rakyat itu.

"Kita Pakatan, tetap kekal bersama dan rakyat pun sudah tidak peduli dengan kenyataan-kenyataan pemimpin BN untuk melakukan perubahan kerajaan," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Posting Komentar