Wang KWSP RM1 8 bilion dilabur tanpa bincang

(Oleh: Sidiqin Omar)

KUALA LUMPUR 3 Jun: Senator Syed Shahir Syed Mohamud  bimbang aset tunai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) lesap melalui pembelian stesen kuasa Battersea, yang menjadi ikon hartanah di London berharga RM1.8 bilion.

Agensi Bloomberg dan akhbar Financial Times memetik laporan firma kaji selidik hartanah, CoStar, bahawa KWSP berjaya mengatasi bidaan dibuat pemilik  kelab bola sepak Chelsea, Roman Abramovich untuk mengambilalih stesen berkenaan.

“KWSP perlu berhati-hati dalam membuat pelaburan. Keadaan ekonomi di Eropah kini tidak menentu. Greece dan Sepanyol adalah contoh (negara hadapi krisis ekonomi).
“Kita bimbang modal pelaburan yang ditanam tidak membawa keuntungan, malah yang berlaku sebaliknya,” katanya pada Keadilandaily.
Katanya, beliau bukan memperlekeh usaha KWSP mencari pelaburan, tetapi adalah lebih baik wang sebanyak itu dilabur di negara seperti Korea atau membantu Industri Kecil Dan Sederhana (IKS) tempatan.

“Kita bimbang dengan spekulasi pasaran kerana ada risiko. Walaupun atas nama pelaburan perlu ada pulangan yang munasabah,” tegasnya yang juga mantan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja (MTUC).
Spekulasi perniagaan mengatakan KWSP berkerjasama dengan SP Setia, salah satu pemaju hartanah terbesar Malaysia, dan agensi pelaburan hartanah bagi Deutsche Bank, RREEF.
CoStar Group berkata, KWSP telah menetapkan jaminan 100 peratus kepada ekuiti tawaran pembelian tunai bernilai RM1.8 bilion (375 juta pound).
CoStar menambah, SP Setia dijangka menjadi pengurus pembangunan dan mendapat nasihat daripada RREEF.

Manakala terma pembelian Battersea telah dipersetujui dan urus niaga dijangka selesai dalam tempoh tiga bulan.
SP Setia meletakkan dua bidaan bernilai RM1.2 bilion (262 juta pound) dan RM1.5 bilion (324 juta pound) bagi tanah itu tahun lepas tetapi ditolak.

Bagaimanapun, KWSP kelmarin menafikan laporan berita di Britain bahawa ia sudah membuat bidaan bernilai RM1.8 bilion untuk membeli stesen kuasa Battersea itu.
Short URL: http://www.keadilandaily.com

Posting Komentar